Nak cari kerja sambilan untuk lepasan SPM? Teringat pula dulu-dulu habis je SPM saya sibuk ke mall tanya kerja part time (sambilan) yang boleh dimohon. Tetapi akhirnya kerja pertama saya selepas tamat SPM ialah jadi pembantu kantin sekolah menengah.
Dapatlah dalam RM16 sehari (RM4/jam). Kerja pun ringan sekadar bantu jaga cashier dan tolong goreng nugget dengan karipap kentang. Bayaran gaji pula dalam lima hari sekali. Saya kerja di kantin tersebut sampai dapat tawaran ke matrikulasi.
Antara Kerja Sambilan Untuk Lepasan SPM
Sementara nak dapat tawaran lanjutkan pengajian ke Universiti atau Pra tu boleh je kalau anda nak kerja dahulu. Walaupun hanya dalam beberapa bulan tetapi duit hasil kerja dah boleh buat tambah belanja diri anda sendiri.
Walaupun mungkin bidang kerja untuk lepasan SPM tidak menjanjikan gaji yang tinggi, tetapi pengalaman itu yang penting. Lebih baik sekiranya anda bermula sekarang dari tiada apa.
Dari buang masa duduk sahaja kan?
1- Ceburi Bidang Perkeranian (Admin/Pembantu tadbir)
Syarikat atau mana-mana bisnes biasanya akan ada jawatan admin ini. Walaupun kebiasaannya dibuka secara tetap (permanent) namun ada juga syarikat yang ambil kerani/admin secara kontrak bulanan.
Maka sangat sesuai untuk lepasan SPM untuk memohon jawatan admin ataupun pembantu tadbir.
2- Pembantu Jualan (Promoter)
Kalau kita jalan-jalan di shopping mall paling biasa kita jumpa ialah promoter. Selain dari jawatan tetap, promoter untuk kempen-kempen atau jualan tertentu kebiasaannya diambil secara separuh masa (part time).

Selain gaji sedia ada promoter ini juga diberi ganjaran berupa komisen bagi setiap jualan yang berjaya di buat. Banyak juga gaji yang bakal diterima kalau ditambah dengan komisen sehingga akhir kempen jualan.
3- Bekerja Sebagai Guru Sambilan/ Guru Tuisyen/ Tutor
Kalau anda suka mengajar dan ada kelebihan dalam subjek-subjek tertentu, anda boleh mulakan kerjaya sebagai guru sambilan. Ajar adik-adik tingkatan rendah atau sekolah rendah secara bayaran per jam. Anda tentukan berapa upahnya.
Iklankan servis anda sebagai tutor di media sosial ataupun group WhatsApp kejiranan. Untuk anda yang sudah mula belajar di Universiti dan berminat untuk menjadi tutor juga masih boleh.
Cuba daftar diri anda sebagai tutor di Tuition-on-the-go . Namun jangan sampai pelajaran sendiri terabai pula ya.
4- Dispatcher (Penghantar Makanan/Bungkusan)
Anda ada kenderaan sendiri dan lesen yang sah?
Anda boleh cuba mulakan kerjaya sebagai penghantar makanan seperti di FoodPanda ataupun Grab Food. Pelbagai jenis penghantar yang ada masa kini dari penghantar makanan sehingga penghantar bungkusan secara sambilan dan juga jawatan kekal.
Nak cuba memohon?
Mungkin anda boleh mulakan di FoodPanda dahulu jika berminat. Selain itu anda mungkin boleh memohon jawatan penghantar di syarikat seperti Pos Malaysia, J&T dan lain-lain.
5- Pembantu Restoran Makanan Segera
Anda juga boleh memohon jawatan pembantu di mana-mana restoran makanan segera seperti McDonald’s ataupun KFC. Kebiasaannya jawatan pembantu/pelayan restoran secara sambilan (part time) memang dibuka sepanjang tahun.
Cara memohon juga tidak sesukar mana, lihat pada tanda iklan dan pastikan syarat-syarat memohon. Kemudian lengkapkan borang permohonan kerja dan hantar pada pengurus cawangan.
6- Mula Kerja Sebagai Penulis Konten
Anda sangat suka menulis. Dan penulisan anda sering kali mendapat tempat dihati pembaca tidak kira guru mahupun rakan anda sendiri. Mereka suka baca cerita anda.
Jadi, apa kata anda mohon jawatan sebagai penulis konten atau copywriter.

Ataupun anda perlu bantu ibu bapa sepanjang cuti lepas habis SPM di rumah. Anda tidak ada peluang untuk keluar memohon kerja jadi anda boleh mula menulis dari rumah sahaja.
Yang penting ada sambungan internet dan juga smartphone/laptop.
Kalau berminat nak mulakan blog sendiri boleh ikut tutorial buat blog dengan blogspot ataupun dengan WordPress percuma. Cuma kalau ber-blog sendiri ini bukannya terus boleh nampak hasilnya (pendapatan).
Kena konsisten dan juga sabar.
7- Mulakan Bisnes Sendiri
“Bang, macam mana nak buat bisnes saya baru lepas SPM. Mana ada modal!”
Mungkin soalan di atas yang bermain dalam fikiran anda bukan?
Salah satu cara bisnes modal rendah ialah dengan buat dropship. Anda promosikan barang-barang niaga kepunyaan orang lain. Kemudian jika ada yang membeli pula pihak pemilik bisnes akan uruskan penghantaran.
Mereka packing, poskan ke customer anda. Anda pula?
Ambil komisen jualan. Dropship boleh dilakukan secara sambilan dengan cara promosikan link-link jualan di media sosial, kumpulan rakan-rakan terdekat ataupun promosikan melalui blog anda sendiri.
Jangan Putus Asa Cari Kerjaya Sesuai
Saya juga pernah hampir putus asa semasa baru lepas SPM dan sedang mencari kerja. Hampir kebanyakan tempat yang saya mohon tidak berikan jawapan ya hanya kerana saya hanya ada SPM ketika itu. Walaupun jawatan yang dipohon terang-terang ditulis untuk lepasan SPM.
Namun saya nekad mencari sehingga berjumpa dengan kerja yang sesuai. Teruskan pencarian dan jangan berputus asa sehingga anda jumpa kerja yang sesuai.
Senarai di atas adalah sebagai cadangan kerja sambilan untuk lepasan SPM mahupun untuk mereka yang sedang belajar di universiti.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan juga idea untuk anda yang sedang mencari kerja.
Artikel ni buat Eiza mengimbau kerja pertama selepas SPM dulu. Seronok bekerja di A&W Family Restaurant di Penang International Airport. Kami batch pertama yang berkerja semasa perasmian outlet tersebut. Jumpa perbagai artis dan ragam manusia.
Nice sharing 🙂
These are good part-time jobs for fresh graduates and even those who want to change and rebuild their careers. I go for the content creator job. It’s what I’m doing now. Thank you for sharing.